Sunday, November 28, 2010

Tazkirah

Pemakanan merupakan aspek penting dalam membentuk jasmani manusia. Manusia memerlukan makanan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Al-Quran memperincikan persoalan makanan ini dengan menyatakan sifat makanan yang harus dimakan oleh manusia iaitu makanan yang halal. Maksud firman Allah s.w.t.:

"Wahai manusia! Makanlah apa yang ada di bumi yang halal lagi baik. Janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya dia (syaitan) adalah musuh kamu yang nyata".
Al-Baqarah:168

Makanan yang haram dimakan atau diperoleh dengan cara yang haram boleh mendatangkan kemudaratan kepada manusia. Mudarat pada fizikal mahupun mental manusia. Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa makanan yang haram ini adalah punca doa kita tidak dimakbulkan Allah s.w.t. Lebih dasyat lagi tubuh badan manusia yang membesar dengan makanan yang haram ini adalah bahan bakar api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka neraka adalah lebih utama baginya".

Persoalan ini lebih menekankan dari aspek keperluan jasmani sahaja. Bagaimana pula dengan tuntutan rohani manusia? Tidakkah manusia itu terdiri dari 2 unsur iaitu roh dan jasad? Bagaimana jika roh manusia itu diisi dengan sesuatu yang haram? Melalui bahan bacaan atau tontonan yang negatif, atau apa jua sumber yang boleh dikecapi oleh pancaindera yang memudaratkan rohani.

Inilah yang dinamakan penyakit hati. Orang yang suka mengecapi sesuatu yang haram adalah orang yang meracuni diri sendiri. Jika jasmani yang berpenyakit, mudah untuk dikesan dan diubati. Sebaliknya, jika rohani yang ditimpa penyakit, ia amat sukar dikesan dan diubati. Ini akhirnya akan membentuk sifat keji dalam diri manusia.

Rohani yang diselaputi dengan penyakit akan membuahkan sifat dan akhlak yang buruk. Maka kesudahannya manusia itu sendiri akan tertutup hatinya dari menerima hidayah dari Allah. Ulama' fiqh telah menggariskan suatu kaedah dalam persoalan ini; Perkara yang membawa kepada haram maka ia adalah haram.

Justeru itu marilah kita membersihkan diri kita. Kebersihan yang disifatkan sebagai sebahagian daripada iman. Iaitu bersih jasmani dan rohani. Marilah kita bersikap berhati-hati dalam memilih bahan yang hendak dihadamkan oleh roh dan jasad kita. Berhati-hati dalam ertikata menjadikan iman sebagai kayu ukur kita. Adakah bahan itu boleh menyuburkan iman atau membiakkan nafsu, kemudian tepuk dada, tanya iman.

Friday, November 19, 2010

Pengertian Selawat

Makna Selawat

   Selawat adalah jamak dari kalimat solat. Selawat menurut bahasa ertinya doa, rahmat dari Allah, memberi berkat dan ibadat.

   Dalam Al-Quran Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Hai orang-orang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya." (Surah Al-Ahzab:56)

   Selawat kepada Nabi terdiri dari tiga tingkatan:

  1. Selawat Allah kepada Nabi dan Rasul-nya, istimewa kepada Nabi Muhammad s.a.w., bererti Allah memberi rahmat, memuji dan melahirkan keutamaan serta mendekatkan Nabi Muhammad s.a.w. kepada-Nya.
  2. Selawat Para Malaikat kepada Nabi dan Rasul dan Nabi Muhammad s.a.w., bererti malaikat-malaikat mendoakan atau memohon rahmat kemuliaan serta keampunan.
  3. Selawat manusia kepada Nabi Muhammad s.a.w., bererti mengakui kerasulannya, memohon kepada Allah melahirkan keutamaan, kemuliaan dan mengakui serta mengikuti kebenaran ajaran yang dibawanya.
Hukum Membaca Selawat

   Para Ulama telah memberi pelbagai pendapat tentang hukum membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. Diantaranya:

  1. Imam Syafie mengatakan selawat itu wajib dibacakan dalam tasyahud akhir, iaitu di antara tasyahud (tahiyyat) dan salam.
  2. Imam Asy-Sya'bi berpendapat, selawat wajib dibaca dalam solat dalam kedua-dua tasyahud awal dan akhir.
  3. Abu Jaafar Al-Baqir mengatakan, selawat wajib dibaca di dalam solat sama ada dalam tasyahud awal atau akhir.
  4. Abu Bakar ibnu Al-Baqir berpendapat, selawat wajib dibaca tanpa mengira bilangannya.
  5. Abu Bakar Ar-Razi dan Ibnu Hazmin berpandapat, berselawat wajib dalam seumur hidup walaupun hanya sekali.
  6. At-Thahawi berpendapat, berselawat wajib apabila seseorang mendengar orang menyebut nama Nabi Muhammad s.a.w.
  7. Az-Zamakhsyari berpendapat, selawat wajib dibaca pada tiap-tiap sesuatu majlis.
  8. Ibnu Jarir At-Thabari berpendapat, berselawat kepada Nabi adalah suatu pekerjaan yang disukai sahaja.
  9. Ibnu Qashshar berpandapat, berselawat kepada Nabi adalah suatu ibadah wajib.
   Kesimpulannya, membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. adalah suatu amaliah dan ibadah yang terpuji yang amat disukai Allah dan para malaikat-Nya serta sangat dianjurkan sebagai suatu penghormatan dan memohon rahmat kepada Nabi s.a.w.

Thursday, November 18, 2010

Salam Perkenalan..

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaratuh.
Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, limpahkan selawat dan salam kepada junjungan Nabi Muhammad s.a.w. beserta keluarga, para sahabat dan orang-orang yang mencintainya.

   Syukur ke hadrat Allah s.w.t. dengan limpah taufik dan hidayahNya, kami dari JEZBAH dapat menghasilkan blog ini sebagai usala untuk bertaqarrub dengan Allah dan mengharapkan redhaNya dengan ibadah. Lahirnya blog ini adalah cetusan rasa agar dengan berbekalkan ilmu yang sedikit dapat pula memberi dorongan rohaniyyah bagi kaum Muslimin dalam usaha meningkatkan amal ibadah dan menguatka keimanan serta ketaqwaan terhadap Allah s.w.t.

   JEZBAH atau bermaksud 'Tarikan Rohani' merupakan sebuah lagi Pusat Rawatan Islam berlandaskan Ruqyah Syariyyah yang ditubuhkan bagi memenuhi tuntutan Fardhu Kifayah serta rasa tanggungjawab yang besar terhadap masyarakat Islam, bukan hanya berperanan sebagai sebuah pusat rawatan, tetapi juga sebagai pusat dakwah yang mendidik serta menyedarkan masyarakat akan kepentingan menjaga kebersihan rohani dan jasmani. Kebersihan rohani adalah sama penting dengan kebersihan jasmani kerana apabila kebersihan rohadi tidak dititik beratkan, maka banyaklah 'virus-virus merbahaya' yang mendekati kita seterusnya menjadikan diri kita sebagai 'sarang' aktiviti mereka.

   Misi kami mungkin tidak akan tercapai sekiranya tiada sokongan dari sahabat-sahabat seperjuangan yang sama-sama berjuang menegakkan syiar Islam melalui bidang perubatan Islam ini. Jutaan terima kasih atas sokongan pelbagai pihak terutamanya Al-Fadhil Ustaz Hayat an Naqsyabandi, Pengasas KISWAH yang memberi dorongan, nasihat serta galakan agar terus berjuang dalam bidang ini.

   Semoga dengan tertubuhnya JEZBAH, maka misi kami sebagai pusat rawatan dan dakwah islamiah yang berlandaskan sunnah Rasulullah s.a.w. dan seperti yang diajarkan oleh para sahabat baginda, tabi'ien, wali-wali Allah, dan para ulama besar aka terlaksana. Semoga melaluinya kita dapat merealisasikan kecintaan terhadapNya disamping mendapat balasan pahala yang besar dan keampunan dari Allah serta memperoleh syafaat dari Nabi s.a.w. di akhirat kelak.

   Semoga blog ini termasuk sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya." - Hadis Riwayat Muslim -

p/s: Terima Kasih kepada Ustaz Hayat di atas pemberian nama 'JEZBAH' Diharap akan mendapat keberkatan di dunian dan di akhirat.. Aminn..