Thursday, December 9, 2010

KELEBIHAN MENUNTUT ILMU

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: "Sesiapa yang menjalani satu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah memudahkan baginya satu jalan ke syurga"
(Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Imam Nawawi menjelaskan erti menjalani satu jalan dan mengembara untuk menuntut ilmu, di tempat yang dekat atau jauh, kerana ilmu tidak mendatangi kepada seseorang, sebaliknya seseorang mestilah mendatanginya. Ini adalah pengertian yang biasa dan boleh diertikan dengan menjalani jalan atau sebab yang membawa kepada mendapat ilmu, seperti mengingat pelajarannya, mendalami kajiannya, meneliti segala persoalannya, mencatit segala perkara yang perlu dan sebagainya.

Hakikat yang perlu kita sedari ialah kita sebenarnya sedang beribadah. Menuntut ilmu merupakan tuntutan agama yang fardhu kepada setiap muslim. Setiap ibadah sudah tentu ada ganjarannya. Lantaran itu hadith di atas menjelaskan bahawa ganjaran bagi si penuntut adalah syurga.

Imam Nawawi, seorang ulama' fiqh dan hadith yang lahir 778 tahun yang lalu, mendalami persoalan untuk mendapatkan ilmu iaitu dengan mengulangkaji dan mencatat. Ilmu yang dipelajari bukan hanya sekadar diketahui sahaja, bahkan mesti didapati. Dapat bererti faham dan ingat serta dalam masa yang tertentu ilmu tersebut boleh dijelaskan dengan lisan mahupun tulisan. Lebih jauh dari itu, ilmu tersebut dapat diterjemahkan dalam penghidupan kita. Barulah kita selayaknya dapat mengecapi syurga.

Ilmu itu sifatnya hidup. Jika kita selalu menggunakannya ia akan bertambah dan meningkat. Sebaliknya jika hanya disimpan di dalam buku, nescaya ia akan mati dan hilang dari ingatan kita. Jesteru, marilah kita beriman dan beramal dengan hadith ini. Iaitu dengan bersungguh-sungguh menuntut ilmu, kerana sesungguhnya diri sendirilah yang menjadikan kita layak untuk mendapat ganjaran syurga. Wallahua'lam.