Friday, November 19, 2010

Pengertian Selawat

Makna Selawat

   Selawat adalah jamak dari kalimat solat. Selawat menurut bahasa ertinya doa, rahmat dari Allah, memberi berkat dan ibadat.

   Dalam Al-Quran Allah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Hai orang-orang beriman, berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya." (Surah Al-Ahzab:56)

   Selawat kepada Nabi terdiri dari tiga tingkatan:

  1. Selawat Allah kepada Nabi dan Rasul-nya, istimewa kepada Nabi Muhammad s.a.w., bererti Allah memberi rahmat, memuji dan melahirkan keutamaan serta mendekatkan Nabi Muhammad s.a.w. kepada-Nya.
  2. Selawat Para Malaikat kepada Nabi dan Rasul dan Nabi Muhammad s.a.w., bererti malaikat-malaikat mendoakan atau memohon rahmat kemuliaan serta keampunan.
  3. Selawat manusia kepada Nabi Muhammad s.a.w., bererti mengakui kerasulannya, memohon kepada Allah melahirkan keutamaan, kemuliaan dan mengakui serta mengikuti kebenaran ajaran yang dibawanya.
Hukum Membaca Selawat

   Para Ulama telah memberi pelbagai pendapat tentang hukum membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. Diantaranya:

  1. Imam Syafie mengatakan selawat itu wajib dibacakan dalam tasyahud akhir, iaitu di antara tasyahud (tahiyyat) dan salam.
  2. Imam Asy-Sya'bi berpendapat, selawat wajib dibaca dalam solat dalam kedua-dua tasyahud awal dan akhir.
  3. Abu Jaafar Al-Baqir mengatakan, selawat wajib dibaca di dalam solat sama ada dalam tasyahud awal atau akhir.
  4. Abu Bakar ibnu Al-Baqir berpendapat, selawat wajib dibaca tanpa mengira bilangannya.
  5. Abu Bakar Ar-Razi dan Ibnu Hazmin berpandapat, berselawat wajib dalam seumur hidup walaupun hanya sekali.
  6. At-Thahawi berpendapat, berselawat wajib apabila seseorang mendengar orang menyebut nama Nabi Muhammad s.a.w.
  7. Az-Zamakhsyari berpendapat, selawat wajib dibaca pada tiap-tiap sesuatu majlis.
  8. Ibnu Jarir At-Thabari berpendapat, berselawat kepada Nabi adalah suatu pekerjaan yang disukai sahaja.
  9. Ibnu Qashshar berpandapat, berselawat kepada Nabi adalah suatu ibadah wajib.
   Kesimpulannya, membaca selawat ke atas Nabi s.a.w. adalah suatu amaliah dan ibadah yang terpuji yang amat disukai Allah dan para malaikat-Nya serta sangat dianjurkan sebagai suatu penghormatan dan memohon rahmat kepada Nabi s.a.w.

No comments:

Post a Comment