Sunday, November 28, 2010

Tazkirah

Pemakanan merupakan aspek penting dalam membentuk jasmani manusia. Manusia memerlukan makanan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Al-Quran memperincikan persoalan makanan ini dengan menyatakan sifat makanan yang harus dimakan oleh manusia iaitu makanan yang halal. Maksud firman Allah s.w.t.:

"Wahai manusia! Makanlah apa yang ada di bumi yang halal lagi baik. Janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya dia (syaitan) adalah musuh kamu yang nyata".
Al-Baqarah:168

Makanan yang haram dimakan atau diperoleh dengan cara yang haram boleh mendatangkan kemudaratan kepada manusia. Mudarat pada fizikal mahupun mental manusia. Rasulullah s.a.w. menegaskan bahawa makanan yang haram ini adalah punca doa kita tidak dimakbulkan Allah s.w.t. Lebih dasyat lagi tubuh badan manusia yang membesar dengan makanan yang haram ini adalah bahan bakar api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka neraka adalah lebih utama baginya".

Persoalan ini lebih menekankan dari aspek keperluan jasmani sahaja. Bagaimana pula dengan tuntutan rohani manusia? Tidakkah manusia itu terdiri dari 2 unsur iaitu roh dan jasad? Bagaimana jika roh manusia itu diisi dengan sesuatu yang haram? Melalui bahan bacaan atau tontonan yang negatif, atau apa jua sumber yang boleh dikecapi oleh pancaindera yang memudaratkan rohani.

Inilah yang dinamakan penyakit hati. Orang yang suka mengecapi sesuatu yang haram adalah orang yang meracuni diri sendiri. Jika jasmani yang berpenyakit, mudah untuk dikesan dan diubati. Sebaliknya, jika rohani yang ditimpa penyakit, ia amat sukar dikesan dan diubati. Ini akhirnya akan membentuk sifat keji dalam diri manusia.

Rohani yang diselaputi dengan penyakit akan membuahkan sifat dan akhlak yang buruk. Maka kesudahannya manusia itu sendiri akan tertutup hatinya dari menerima hidayah dari Allah. Ulama' fiqh telah menggariskan suatu kaedah dalam persoalan ini; Perkara yang membawa kepada haram maka ia adalah haram.

Justeru itu marilah kita membersihkan diri kita. Kebersihan yang disifatkan sebagai sebahagian daripada iman. Iaitu bersih jasmani dan rohani. Marilah kita bersikap berhati-hati dalam memilih bahan yang hendak dihadamkan oleh roh dan jasad kita. Berhati-hati dalam ertikata menjadikan iman sebagai kayu ukur kita. Adakah bahan itu boleh menyuburkan iman atau membiakkan nafsu, kemudian tepuk dada, tanya iman.

No comments:

Post a Comment