Monday, January 10, 2011

TAUBAT

Peringatan Buat Diriku Yang Selalu Lupa..

Aku tidak mempunyai suatu apapun yang berharga selain dari umurku sahaja. Setiap kali kurasa umurku lanjut, setiap kalilah aku rasa modalku berkurang. Semakin hari semakin kecewalah aku. Hari ini adalah hari yang baru yang ditakdirkan Allah untuk aku hidup lagi. Dipanjangkan umurku dan dibenarkan untuk aku mengecap nikmatnya. Andaikata Allah mentakdirkan aku mati nescaya aku akan mohon lagi untuk hidup di dunia ini walaupun untuk satu hari sahaja untuk aku membuat amalan-amalan soleh sebanyaknya..

Wahai jiwa,
Anggaplah dirimu itu sudah mati lalu Allah memperkenankan permintaanmu untuk mengembalikan engkau hidup lagi pada hari ini. Oleh itu awaslah wahai jiwa, janganlah sampai engkau mensia-siakan hari ini kerana setiap nafas dari nafasmu itu adalah ibarat mutiara yang tiada ternilai. Janganlah engkau bermalas-malas dan condong ke arah perkara-perkara yang tidak berguna ataupun berehat-rehat sahaja sehingga engkau lupa akan rasa sedih disebabkan kerugianmu dan engkau akan menyesal kelak..

Wahai diri,
Alangkah jahilnya engkau, engkau mendakwa bijaksana, pintar dan cerdas padahal engkaulah orang yang paling bodoh sekali. Apakah engkau tidak menyedari di hadapanmu ada syurga dan neraka yang engkau tidak lama lagi akan memasuki salah satu darinya nanti? Mengapakah engkau masih lagi dilalaikan sedangkan di hadapanmu tercegat bahaya yang sangat besar.

Awaslah engkau wahai jiwa! Jika engkau berani membuat maksiat sedangkan engkau kata Allah tidak melihat perbuatanmu itu, maka alangkah besarnya kekufuran engkau itu. Jika engkau tahu Allah melihatnya, tapi engkau tidak mengendahkannya, alangkah kejinya perbuatanmu itu. Engkau berani melakukan sesuatu yang menimbulkan kemurkaan dan kutukan Allah dan memang sepatutnya engkau menerima balasan dari Allah. Apakah engkau rasa biasa menanggung siksaNya? Apakah engkau mencabar azab siksaanNya? Apakah kerana limpah kurniaNya yang tidak terbatas itu pula membuatkan engkau terpedaya?

Apakah sekarang engkau masih menyangka yang engkau terselamat dari azab Allah? Lantaran itu engkau tidak menyediakan bekalan untuk hari hisab?

Neraka Allah itu tidak biasa ditentang melainkan dengan binaan tembok keimanan yang kukuh iaitu dengan taat hanya kepadaNya. Lihatlah dirimu wahai jiwa, dengan badan yang satu inilah engkau akan berdiri di hadapan Tuhanmu di hari kiamat nanti. Dengan lidah yang satu inilah engkau akan menjawab pertanyaan Allah. Sediakanlah jawapanmu dari sekarang..

Pastikah engkau dapat mati dalam keadaan Husnul-Khatimah ataupun Su'ul-Khatimah? Tidakkah engkau sedari bagaimana siksaan orang-orang yang dimasukkan ke dalam neraka buat selama-lamanya? Bagi mereka bersabar atau mengeluh itu sama sahaja..

Wahai jiwa,
Berusahalah pada yang baik dalam umurmu yang hanya tinggal beberapa ketika sahaja lagi. Sediakanlah seberapa banyak bekalan yang engkau mampu agar engkau tidak menyesal di kemudian hari kelak.

Ya Allah,
Jadikanlah jiwa ini termasuk dalam golongan orang-orang yang engkau redhai..